Monday, March 23, 2009

KEMPEN KESEDARAN PROGRAM KITAR SEMULA


Program Kitar Semula yang diadakan pada 22 Mac 2009 anjuran Perbadanan Labuan bersama JKKK Kampung Sungai Bedaun bertempat di Perkarangan Masjid Nurul Iman Sungai Bedaun mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk Kampung Sungai Bedaun yang datang dengan membawa berbagai jenis barangan kitar semula seperti tin minuman, kertas surat khabar botol plastik dan berbagai jenis besi buruk untuk dijual kepada pihak penganjur dengan harga yang telah ditetapkan .

Antara harga yang ditawarkan iaitu:-
1. Kertas, surat khabar, majalah, buku dan kotak dengan harga RM 0.05 sen untuk 1 Kg.
2. Tin minuman dengan harga RM1.00 untuk 1 Kg.
3. Botol plastik dan segala jenis plastik dengan harga RM 0.05 sen untuk 1 Kg.
4. Tin keluli dan besi dengan harga RM 0.05 sen untuk 1 Kg.

Encik Ahmad Shahrul Arifin Bin Osman selaku pegawai dari Perbadanan Labuan yang bertanggung jawab dalam kempen ini mengatakan bahawa program ini yang dijalankan di Kampung Sungai Bedaun mengikut jadual yang telah ditetapkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penduduk kampung dan ini secara langsung dapat memberikan kesedaran tentang betapa pentingnya kita menjaga alam persekitaran yang sihat terutama sekali kebersihan kawasan kediaman disamping mendapat hasil dari jualan barangan berkenaan.

Selain itu juga setiap peserta yang dapat menjual hasil barangan kitar semula melebihi 10 Kg. mendapat sehelai baju T percuma dari Perbadanan Labuan.
keseluruhan berat terkumpul hasil barangan kitar semula mengikut katagori berjumlah:
1. Aluminium - 103 Kilogram
2. Besi - 540 Kilogram
3. Plastik - 294 Kilogram
4. Kertas - 643 Kilogram
JUMLAH : - 1,580 kilogram

Saturday, March 21, 2009

MAJLIS PERKAHWINAN PUAN SULIANA BINTI HJ. MOHD YUSSOF DENGAN ENCIK SHAWAL BIN ABDUL RAHMAN


Pada 15 Mac 2009 yang lalu berlangsungnya Majlis Perkahwinan iaitu Puan Suliana Binti Hj. Mohd Yussof dengan pasangannya Encik Shawal Bin Abdul rahman. Puan Suliana yang berasal dari Kampung Sungai Bedaun dan bertugas sebagai Juruteknik di Perbadanan Labuan telah mengakhiri zaman bujangnya apabila ditemukan jodoh dengan suami tercinta beliau Encik Shawal Bin Abdul Rahman yang berasal dari Kampung Tanjung Aru Wilayah Persekutuan Labuan dan merupakan seorang guru sekolah.
Majlis perkahwinan tersebut sungguh meriah dengan kehadiran sanak saudara yang datang dari Wilayah Persekutuan Labuan mau pun dari Brunei Darussalam dan juga sahabat handai. Majlis ini diserikan lagi pada malam majlis berinai dengan pertandingan nyanyian karaoke veteran, pertandingan dart, teka gula-gula dan kacang dan tidak ketinggalan juga persembahan dari Kumpulan Warisan Budaya Sungai Bedaun yang turut menghiburkan para tetamu dengan lagu-lagu moden dan irama ghazal.
"SEMOGA PERKAHWINAN INI AKAN BERKEKALAN HINGGA KE AKHIR HAYAT"...Amin.

Sunday, March 15, 2009

PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO (JKKK) KAMPUNG SUNGAI BEDAUN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Bedaun dengan ini menjemput semua warganegara Malaysia penduduk jati dan Perumahan KPD Kampung Sungai Bedaun untuk menyertai pertandingan mencipta logo yang akan diguna pakai oleh (JKKK) Kampung Sungai Bedaun Wilayah Persekutuan Labuan.

Pihak Penganjur akan menyediakan hadiah kepada para pemenang iaitu:-

Pertama - Wang Tunai RM 200.00 Dan Sijil Penghargaan

Kedua - Wang Tunai RM 150.00 Dan Sijil Penghargaan

Ketiga - Wang Tunai RM 100.00 Dan Sijil perhargaan

Penyertaan dibuka daripada 11 Mac Hingga 11 April 2009 dan Untuk maklumat lanjut mengenai syarat- syarat pertandingan anda boleh terus berhubung kepada Setiausaha (JKKK) ditalian 019-5802366/087-408644

Wednesday, March 11, 2009

PROGRAM HARI KELUARGA KAMPUNG SUNGAI BEDAUN






Pada bulan februari yang lalu Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Sungai Bedaun telah menganjurkan Program Hari Keluarga yang melibatkan semua lapisan mesyarakat Kampung Sungai Bedaun.

Program ini berlangsung bermula pada 15 dan 21 februari 2009 bertempat di Padang dan Dewan Permata S.K. Sungai Bedaun Wilayah Persekutuan Labuan dan Majlis Pelancarannya disempurnakan oleh Y.B. Datuk Hj. Yussof Bin Hj. Mahal (Ahli Parlimen Labuan) pada 15 mac 2009 bertempat di Dewan Permata S.K. Sungai Bedaun manakala Majlis Penutupannya dirasmikan oleh Encik Rozman Bin Datuk Hj. Isli (Setiausaha UMNO Bahagian Labuan) pada 21 mac 2009 juga bertempat di Dewan Permata S.K. Sungai Bedaun.

Program ini merupakan aktiviti yang pertama untuk tahun ini dan insyaallah ianya akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan. Selain itu juga program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dikalangan warga penduduk kampung melalui acara-acara yang telah disusun dan mengambil sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Labuan diistiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Berbagai acara telah dijalankan sebagai pengisian program diantaranya perlawanan bolasepak 5 sebelah yang berlangsung pada 15 mac 2009 manakala pada 21 mac 2009 berlangsungnya acara sukaneka, tarik tali, pakaian beragam, pertandingan nyanyian irama 60an, cabutan tiket bertuah dan pada majlis penutupan program ini juga diselitkan penyampaian sijil perlantikan AJK JKKK Sungai Bedaun untuk penggal 2008-2010. Selain itu gerai makanan dan juga khidmat masyarakat juga diselitkan iaitu membuat pemeriksaan tekanan darah dan khidmat kaunseling kesihatan untuk penduduk kampung oleh jururawat-jururawat terlatih yang terdiri dari warga kampung sendiri.

Tuesday, March 10, 2009

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1430H PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN



Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah kerana dengan limpah dan kurnianya sekali lagi kita sama-sama dapat meraikan Sambutan Maulidurrasul 1430H yang berlangsung pada 09 Mac 2009 di Dataran Labuan yang disempurnakan perasmiannya oleh Y.B. Datuk Hj. Yussof Bin Hj. Mahal Ahli Parlimen Labuan.

Bagi warga Kampung Sungai Bedaun juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama menyertai perarakan yang melibatkan lebih kurang seratus orang peserta terdiri dari golongan dewasa, belia dan juga kanak-kanak yang turut mengambil bahagian dalam perarakan, ini menunjukkan semangat kecintaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

Selain itu juga Kampung Sungai Bedaun telah menjadi johan katagori kampung dalam pertandingan sepanduk dan perbarisan "TAHNIAH" manakala bagi katagori Sekolah Rendah Agama Islam Tempat pertama dimenangi oleh SRAI Kampung Sungai Bedaun 'TAHNIAH' sekali lagi.

Bagi pihak JKKK Kampung Sungai Bedaun merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih di atas segala kerjasama yang telah diberikan khususnya Jawatankuasa Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Sungai Bedaun, Para Belia dan seterusnya warga kampung yang turut menjayakan Majlis Sambutan Maulidurrasul 1430H.

Monday, March 9, 2009

SEKAPUR SIRIH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kami pihak Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Bedaun telah mengambil satu lagi langkah untuk menjadikan pentadbiran JKKK Kampung Sungai Bedaun lebih interaktif khususnya dalam era teknologi maklumat.

Dengan adanya blog ini ianya akan dapat dimanfaatkan oleh bukan sahaja pihak JKKK Kampung Sungai Bedaun malah juga warga kampung dan semua pihak yang ingin berkongsi idea dan mendapatkan maklumat berkenaan aktiviti Kampung Sungai Bedaun Wilayah Persekutuan Labuan. Selain itu blog ini juga akan dapat membantu memperkenalkan Kampung ini bukan sahaja di peringkat negeri, nasional malah juga di peringkat global.